Bismillah hir rahman hir rahim,
I wrote this piece of writing back when I was in College Foundation years, before I embraced Islam. There was a period of time, when I constantly woke up to the sound of azan from the college's Masjid. I was inspired by that to pen it into this piece.
Azan: bunga mekar di pagi subuh.
Azan. Di pagi subuh yang masih menyembunyikan cahaya mentari, azan ini mekar dalam sayup. Jiwa mana yang tak tersentuh. Dalam sejuk-sejuk yang menyenangkan, terbaring di atas katil, diriku masih tertutup mata, namun jiwaku mula terbangun. Insan yang melaungkan azan di masjid-masjid setiap pagi, mereka sungguh rajin beribadah kepada-Nya.
Alunan azan. Memanggil para umat seagama keluar dari selimut mereka. Kubayangkan seorang demi seorang terjaga daripada tidur lalu memulakan langkah ke penyucian. Mereka akan berwudhuk. Kadangkala dalam kemamaian, air sejuk membasuh diri mereka, mengangkat hadas kecil, bersaksikan Allah Taala. Ada yang bersolat keseorangan. Ada yang bedua, bertiga, berjemaah. Yang pasti, 2 raka’at yang ringkas itu penuh makna, solat terakhir dalam sehari yang dikerjakan seorang insan. Dan azan subuh inilah yang menyeru mereka ke arah kebaikan itu.
Hatiku tersentuh. Inginku mengikut ibadah yang sungguh suci ini. Tanpa perlu berkata apa-apa, membuktikan apa-apa, diriku hanya perlu bersaksikan Allah Taala. Dan sujudku, doakku, hanya kepada-Nya. Ringkas, mudah, indah.
Allahu akbar Allahu akbar (Allah maha besar, Allah maha besar)
Allahu akbar Allahu akbar
Asy-hadu alla ilaha illallah (Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah)
Asy-hadu allah ilaha illallah
Asy-hadu anna Muhammadar rasulullah (Aku menyaksikan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah)
Asy-hadu anna Muhammadar rasulullah
Haiya’alas-solah (Marilah sembahyang)
Haiya’alas –solah
Haiya’ala l-falah (Marilah kepada kemenangan)
Haiya’ala l-falah
Assolatu khairum-minan naum (Sembahyang itu lebih baik dari tidur)
Assolatu khairum-minan naum
Allahu akbar Allahu akbar
La-illaha-illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah)
Penyudahan azan, sayu dan sebak tersangkut di dada. Ku tak mampu. Diriku tidak diberi agamaNya dan diriku tak layak menyahut seruan ini. Namun, betapa indahnya suara ini, betapa indahnya ibadah ini. Tiap azan bagai satu penutup ikrar seorang hamba kepada Penciptanya.
Sejuk subuh itu, membawaku ke kalam tidur semula. Diriku akur. Mataku tertutup, jiwaku dibuai mimpi semula.
...............................................................................................................................
“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
(Surah Al-Baqarah:255)